Rabu, 6 April 2011

Hari Ini Dalam Sejarah






Tanggal 1 jun 2010 merupakan tarikh bersejarah dimana serekkoyan melangkah ke satu tahap yang lebih tinggi dalam arena rekreasi marin tanah air. Segala perbincangan dan perangkaan selama dua tahun sebelumnya kini menjadi kenyataan buat serekkoyan

Titik bersejarah ini bermula dengan persetujuan di antara penaja utama dan jeragan serekkoyan dalam menceburi bidang rekreasi marin yang semakin mendapat perhatian dari segenap penggemar dari dalam negara mahupun luar negara apabila sebuah jentera telah dijadikan nadi utama dalam merealisasikan hasrat serta impian serekkoyan selama ini. Sebuah jentera marin iaitu sebuah bot atau lebih dikenali dengan panggilan perahu dikalangan masyarakat pantai timur tanah air yang merupakan medium pengangkutan utama bagi setiap penjelajahan yang akan menjadi suatu paparan menarik buat penggemar sukan pancing tanah air mahupun warga serekkoyan sendiri. Ini merupakan satu peluang yang tidak dapat ditolak oleh serekkoyan dalam memiliki jentera sendiri untuk terus maju dalam industri ini disamping dapat menimba ilmu serta pengalaman hebat yang sememangnya hanya dapat dimiliki oleh segelintir masyarakat walaupun dari penggemar-penggemar sukan marin sendiri.

Vesel
Sebuah perahu yang sebelum ini asalnya dimiliki oleh seorang nelayan sepenuh masa yang merupakan jeragan Terengganu  berpengalaman yang hanya digunakan semata-mata sebagai vesel bagi tujuan menangkap ikan sahaja. Namun disebabkan oleh reka bentuk yang mampu bergerak laju menyusuri lautan dan sememangnya berdaya untuk membelah ombak serta mempunyai saiz dan ruang yang sesuai telah menarik perhatian serekkoyan untuk menjadikannya sebagai tunjang utama dalam setiap ekspedisi penjelajahan khusus bagi kaki-kaki pancing tanah air.  

Proses Baik Pulih
Penelitian secara terperinci dalam proses membaik pulih perahu telah mengambil masa selama 6 bulan keseluruhannya menjadikan ia sebuah pengangkutan yang mampu berdaya saing serta mesra pelanggan. Jentera yang telah dilengkapi dengan peralatan terkini dari segi enjin mahupun 'sonar' atau 'sounder' serta peralatan memasak dan lain-lain juga membolehkan aktiviti pancing lebih mudah dijalankan dan sememangnya memenuhi citarasa pengguna marin masa kini. Ruang dalaman serta luaran juga menjadi satu aspek penting yang amatlah dititikberatkan oleh penaja utama serekkoyan dalam pengubahsuaian demi keselesaan pengguna mahupun warga serekkoyan sendiri. Satu medium yang serba lengkap serta mesra pelanggan telah menjadi suatu inspirasi dan peneraju bagi serekkoyan. Kini ia kelihatan lebih gah dari sebelumnya.

Tenaga Pakar
Bagi melengkapkan fasiliti jentera marin serekkoyan, sebuah jeti yang menjadi markas atau pengkalan sememangnya penting sebagai 'parking lot' atau 'tempat letak'  bagi menempatkan perahu telah disediakan untuk memudahkan para pengguna mengakses ke bot sekaligus bagi memunggah barang keperluan dan juga peralatan memancing serta selaman. Dalam menyediakan fasiliti tersebut, ramai tenaga pakar (orang lama dan baru) turut serta turun padang bersama-sama berganding bahu dan ini telah menjimatkan banyak masa bagi proses menyiapkannya. Semangat gotong royong yang amat jarang sekali dapat kita lihat pada masa kini khususnya di kawasan bandar. Proses menghasilkan pengkalan ini amatlah rumit dan sedikit cerewet memandangkan ia memerlukan skil dalam bidang pembinaan dan sudah pasti menambahkan lagi tahap kesukaran kerana ianya terletak di kawasan air di tepi sungai. Bukan suatu perkara yang mudah untuk menyempurnakannya apabila perlu memacak kira-kira 30 batang tiang sepanjang 10-40kaki di tengah-tengah air yang berkedalaman maksimum 25kaki. Memang tidak dapat saya bayangkan pada mulanya namun berbekalkan pengalaman serta bantuan dari sifu-sifu dan warga marin tempatan, semuanya beres begitu sahaja walaupun ia mengambil masa lebih dari seminggu sehingga segalanya siap sempurna.

Kini, segalanya telah lengkap untuk serekkoyan bersiap sedia memulakan ekspedisi penjelajahan aktiviti rekreasi marin serta penerokaan ke lokasi baru yang menjadi taruhan lebih-lebih lagi buat penggemar sukan pancing tanah air dalam mencipta pengalaman menarik disamping menikmati suasana lautan luas yang sememangnya sentiasa mendapat perhatian segenap lapisan masyarakat.


2 comments:

Sunah Sakura berkata...

cantik-cantik gambar...:)

serekkoyan berkata...

terima kasih . biasa je tu, banyak yg candid' .