Selasa, 5 April 2011

Intro - Aku dan Pancing



Aku(t m a) mula mengenal dunia pancing sejak kecil dan hingga ke hari ini aku masih tidak dapat merungkai satu persoalan mengapa aku minat memancing. Dimana sahaja aku terdengar padang pancing baru, aku akan menyusun jadual dihujung minggu dan bergegas kesana bersama kaki pancing yang lain untuk menduga penghuni di situ seawal pagi.

Serek Buatan Tangan
Sebermulanya dunia pancingku (zaman sekolah rendah), aku hanya menggunakan alatan manual iaitu 'serek' (pantai timur) atau lebih dikenali sebagai koyan (tali pancing yang hanya digulung pada tin atau...) sebagai senjata utama untuk menduga sang ikan. Aku sering diketawakan oleh rakan-rakan kerana aku hanya menggunakan sejenis 'alat cabuk' setiap kali turun bersama. Mana tidaknya, jarak balingan umpan tidak sejauh mana jika dibandingkan dengan lontaran dari joran mereka serta ia dapat menampung sedikit gulungan tali sahaja memandangkan aku hanya menggunakan tin susu cap teko. Namun, aku tetap selesa menggayakan 'serek' ku tanpa sedikit pun rasa janggal. Buat 'selambe' sudah..

Sepanjang zaman sekolah menengah pula, banyak masa aku luangkan bermain lampam, tilapia, sebarau, toman serta haruan di empangan berdekatan rumah yang lebih dikenali sebagai 'dem' dikalangan rakan-rakan. 'Dem' sebagai gelanggang air tawar sememangnya tidak pernah mengecewakan  dan aku masih kesana sekali sekala (walaupun kini aku lebih dekat untuk ke Tasik Kenyir) bersama keluarga dan juga rakan-rakan untuk melepaskan gian merasa tarikan pemangsa rakus dari keluarga 'channidae' yang rata-rata menguasai kawasan itu. Tempat jatuh lagi terkenang...

Walaubagaimanapun, peluang untuk aku menduga spesis air masin tidak akan aku lepaskan setiap kali cuti penggal pertengahan mahupun akhir tahun. Seawal selesainya kertas peperiksaan yang terakhir, petang itu juga aku akan terus menuju ke kampung halaman tercinta, Kemaman, yang mengambil masa sekitar 5jam dari Kuala Lumpur. Kerana gila memancing, satu peristiwa yang hingga ke hari ini tidak dapat aku lupakan apabila pakcik drebar bas ekspres memandang aku atas bawah ketika aku minta diberhentikan di tepi jalan (jambatan Chukai) kerana aku baru berusia 11 tahun pada waktu itu dan  hanya berseorangan. Serba salah aku tengok pakcik tu..

Sememangnya aku sedar yang hobi serta minat aku tidak selari dan agak tidak sinonim dengan kebanyakan remaja pada masa itu. Entah mengapa aku kurang mengaktifkan diri dalam aktiviti rakan-rakan sekolahku yang lain walaupun aku boleh bersukan, pernah menjuarai liga bolasepak sekolah antara kelas(tingkatan 2), mengumpul koleksi Hardy Boys dan tidak dapat dilupakan permainan video MicroGenius, Nintendo mahupun arked. Namun, aku tetap lebih kepada aktiviti pancingku tidak kira bagaimanapun keadaannya. Pancing tetap nombor satu dihatiku...

Sungai Chukai
Sungai Chukai menjadi saksi kegilaan aku bertarung dengan pelbagai spesis ikan air masin serta penghuni yang lain. Suatu pengalaman yang tak mungkin dapat diulang lagi dengan spesis ikan 'grade A' yang memasuki sungai tersebut termasuklah kerapu, cermin, kuku, kurau, siakap merah, siakap putih dan yang paling membanggakan adalah spesis bulan yang menjadi tangkapan terbesarku di sekitar tahun 90an. Dan di sungai ini jugalah aku mengenal apa itu umpun-umpun (sejenis cacing), menyuluh ketam dan udang galah di malam hari, memasang taut, rawai, 'bito' ketam nipah, ikan belukor, belangkas, siput kaki, macam-macam lagi lah. Namun, sejak kebelakangan ini kualiti sungai kian merosot (walaupun tidak banyak terjejas) akibat pembangunan sekeliling. Akan tetapi, tahap pencemaran lebih banyak 'disumbang' oleh segelintir masyarakat yang masih lagi tidak sedar akan kepentingan terhadap pemeliharaan alam sekitar.

Disebabkan oleh perasaan 'gila pancing' yang tak dapat dibendung lagi disamping menikmati keindahan alam, satu situasi dimana aku telah berjaya dimanipulasi oleh bapaku apabila aku dijanjikan sebatang joran beserta mesin sekiranya aku mendapat tempat pertama dalam peperiksaan. Semangat belajar datang secara tiba-tiba sebab memang sudah lama aku mengidam set sendiri sejak dari sekolah rendah lagi dan buat pertama kalinya diusia 14 tahun, aku memiliki sebatang joran 'seahawk' dipadankan dengan mesin 'bando' yang masih aku gunakan sehingga ke hari ini. Terima kasih abah..


Kini, aku kembali ke tempat 'bermain' ku sebagai jeragan muda..


5 comments:

A.I berkata...

wahh.
aku selalu pelik dengan dunia pemancing!

bg aku yang tak reti nih, it's such a bored. baling then tunggu mcm nak mampos!
tp acu aku ckp itu kepuasan. sambil tunggu tuh mcm2 kepuasan dpt. ye laa, aku yang tak paham kot. haha.

SyedGraphix Dot Com berkata...

serek tu ape?

serekkoyan berkata...

Aisha Inani;

ya aku pun pelik hehee..
maybe pemancing2 ni sukakan 1 'feel' dpt interact dgn living things secara 'fighting' dan puas bila 'win the situation'.
belum cuba, belum tau..

serekkoyan berkata...

SyedGraphix;

serek tu dgn kata nama lain ialah koyan. nama 'serek' besenye org pantai timur pakai, klu belah lain diorg panggil koyan.
jd, serek atau koyan ni ialah satu alat memancing tradisional yg hanya mempunyai gulungan tali pada suatu gelendung(spool)-yg mcm dalam gambr tu. masih lg digunakan oleh masyarakat nelayan tempatan

Tanpa Nama berkata...

pelik xxpenah dgr perkataan serek tu..pelik..pelik..hurmm...=)