Sabtu, 25 Jun 2011

Popping


Untuk ruangan kali ini, saya ingin menceritakan mengenai teknik pancing popping. Satu lagi teknik pancing yang divariasikan dari teknik casting yang dipanggil popping ini telah menjadi buah mulut bagi serata pemancing yang saya kira dari seluruh dunia. Satu lagi aktiviti pancing bertaraf dunia semestinya dari kelas 'big game' yang berjaya menambat hati para pemancing berstatus 'tegar'.

Bila sebut saja pasal popping, pasti terbayang sentapan rakus oleh sang Jemuduk Gergasi (GT), Tenggiri (Wahoo), Kacang (Barracuda) menyambar popper hingga membuatkan joran anda melengkung bagai nak patah dua. Teknik yang sangat mencabar fizikal juga mental ini sudah pasti mendatangkan gian dengan 'feel' yang tersendiri lebih-lebih lagi bagi pemancing yang sudah terkena 'karen' popping.

Namun begitu, teknik popping ini tidaklah hanya tertumpu di perairan air masin sahaja, ia juga boleh dipraktikkan di perairan air tawar sepertimana kebanyakan pemancing menggunakan popper untuk menjejak Sebarau, Toman, Haruan dan lain-lain yang juga berada dalam kelas 'big game'.



Teknik Popping

Popping ialah satu teknik pancing yang menggunakan umpan tiruan atau lebih dikenali sebagai 'gewang' yang dipanggil dengan nama 'popper'. Kaedah popping ini adalah sangat mudah untuk dipraktikkan, anda hanya perlu melontar popper sejauh yang boleh ke kawasan yang anda fikirkan mempunyai pemangsa yang berlegar-legar di bawah air. Popper tadi dikarau dan sekali-sekala perlulah anda melakukan 'pump' dengan cara menyentap supaya ia menghasilkan kocakan atau ledakan air yang besar. Dengan kaedah ini, pemangsa akan tertarik dengan ledakan air tadi yang disangka anak ikan yang cedera ataupun sedang melarikan diri. 

Walaupun begitu, mana-mana aktiviti pancing sememangnya mementingkan teknik yang betul demi memastikan umpan anda benar-benar menarik perhatian si pemangsa. Ia akan memberi kesan yang lebih baik sekiranya anda mengenali penghuni di sekitar kawasan yang ingin diduga itu. Penggunaan Fishfinder serta Sounder juga turut membantu dalam mengenalpasti kawasan yang mempunyai kawanan ikan yang besar.

Deburan Popper 2
Deburan Popper 1



Teknik dan gaya mengarau popper memang menjadi satu aspek penting dalam menghasilkan ledakan atau kocakan air yang sempurna. Ledakan atau kocakan ini sebenarnya terhasil oleh popper itu sendiri dimana ia mempunyai permukaan melengkung separuh bulat seperti mangkuk di bahagian hadapan. Permukaan melengkung inilah yang berfungsi untuk menghasilkan deburan di permukaan air sekaligus menarik perhatian pemangsa untuk membaham popper anda.



Kekili Popping

Tidak dinafikan bahawa aktiviti popping ini memerlukan 'gear' atau perkakas yang berdaya tahan maksima dalam mengharungi cabaran serta pengendalian yg hebat bertaraf 'big game'. Pengkhususan terhadap salah satu perkakasnya adalah kekili yang digunakan. 

Kebiasaannya, rata-rata pemancing akan menggunakan kekili menegak (multiplier) untuk ketahanan tinggi bagi melawan daya juang si pemangsa. Namun, dalam aktiviti popping ini, kekili mendatar (spinning) lebih mendapat tempat disebabkan kita perlu melontar popper tersebut sepertimana aktiviti casting. Ini bertujuan untuk mengelakkan dari terjadinya 'mee maggi' pada gelendung (spool) kekili anda dan sememangnya ia membuang masa serta merosakkan tali utama. Bukan setakat gelendung kekili sahaja yang serabut malah kepala otak juga turut berserabut lebih-lebih lagi apabila anda terpaksa membuang sebahagian tali yang tidak dapat diselamatkan itu.

'Mee Maggi'
Walaupun begitu, tidak menjadi masalah bagi pemancing untuk menggunakan mana-mana jenis kekili yang digemari baik menegak mahupun mendatar mengikut kesesuaian, kemahiran dan kesenangan dalam mengendalikan kekili tersebut.

Penn International 975
Kekili Menegak  ( Multiplier ) - Kekili jenis menegak sememangnya mempunyai daya tahan yang tinggi berbanding mendatar. Namun begitu, pengendalian yang cekap amatlah dititikberatkan dalam penggunaan kekili jenis ini. Terdapat beberapa jenama dan model yang terdapat di pasaran negara boleh anda perolehi dari siri 'baitcaster' ini. Di antara kekili menegak yang sering kali menjadi bahan bualan pemancing 'hardcore' masa kini termasuklah Penn International 975, Shimano Calcutta, Abu Garcia Ambassadeur dan banyak lagi.

Shimano Calcutta

Abu Garcia Ambassadeur 


Kekili Mendatar  ( Spinning ) - Bagi aktiviti popping, pemilihan terhadap kekili mendatar amatlah tepat sekali memandangkan kita perlu membuat banyak lontaran sepertimana teknik casting yang diketahui umum. Pengendalian yang mudah serta kesenangan anda membuat lontaran tanpa menghiraukan akan terjadinya 'mee maggi' walau sekuat manapun anda menghayun joran membuatkan lagi penggunaan kekili jenis ini lebih memberi kesan yang positif. Ramai antara pemancing sudah bertukar 'selera' dari kekili menegak kepada kekili mendatar untuk acara 'big game' memandangkan beberapa model dari jenama terunggul telah berjaya membuktikan daya ketahanan yang amat tinggi. Nisbah kelajuan yang tinggi serta drag yang gagah dalam menahan tarikan kerakusan rentapan rambang si pemangsa membuatkan model-model ini lebih dipercayai. Antara model yang kini gah dan tidak asing lagi di kalangan pemancing adalah seperti Shimano Stella dan juga Daiwa Saltiga

Shimano Stella
Daiwa Saltiga Dogfight
Namun begitu, banyak lagi jenama lain yang sama berdaya saing boleh didapati di pasaran negara. Tidak semestinya menggunakan jenama serta model yang terhebat untuk menjadi pemancing terhebat.



Joran Popping

Untuk aktiviti popping, joran yang digunakan semestinya mempunyai spesifikasi yang tersendiri. Aspek kekerasan dan kelembutan pada batang joran popping ini membuatkan aksi menggayakan popper menjadi lebih sempurna serta menampakkan keberkesanan terhadap deburan air yang dihasilkan. Walaupun bahagian hujung joran popping ini kelihatan lembut, namun ianya telah disesuaikan dengan cara penggunaannya. Tidak perlu risau akan keadaan tersebut kerana semua joran kelas popping ini sememangnya dicipta untuk acara 'big game' dengan ketahanan yang tinggi. Panjang joran yang biasanya disediakan adalah dari 6 kaki sehinggalah 9 kaki bagi memudahkan popper dilontar sejauh yang mungkin.

Terdapat banyak jenama serta model joran popping yang boleh didapati di pasaran negara kita. Di antara jenama yang sering menjadi pilihan para pemancing 'tegar' termasuklah Daiwa Monster Mesh, Simano Caranx Kaibutsu, Xzoga Takadum dan banyak lagi.

Shimano Caranx Kaibutsu

Daiwa Monster Mesh

Xzoga Takadum

Seperkara tentang joran yang ingin dimiliki, tidaklah menjadi satu kerisauan jika joran yang anda pilih itu adalah dari spesifikasi yang betul. Namun, jika anda memilih joran yang murah kurang kualitinya tetapi mempunyai kekuatan yang sama hebat dengan yang berjenama gah itu, disarankan anda untuk menukarkan cincin (ring/guide) joran tersebut kepada jenama yang lebih dipercayai dan ingin saya syorkan kepada jenama Fuji.






Jenis-jenis Popper

Agak sukar untuk kita tentukan jenis, bentuk dan rupa popper yang bagaimana dapat menarik perhatian si pemangsa setiap kali turun popping. Masing-masing mempuyai resepi tersendiri dalam memilih popper yang dianggap 'keramat' lagi-lagi apabila popper pilihan itu selalu dibaham rakus oleh si pemangsa. Namun begitu, terdapat beberapa jenis popper yang berada di pasaran mengikut kegunaan masing-masing berdasarkan keadaan kawasan sekitar di mana anda melakukan aktiviti popping.

Di antara jenis popper yang biasa digunakan adalah seperti Pencil popper, Bomber popper, Chugger popper, Fizzer popper,  Waddler popper dan banyak lagi yang boleh didapati di pasaran tanah air. Daripada kesemua popper yang dihasilkan, terdapat juga variasi terhadap popper-popper tersebut seperti Skirt popper, Loudmouth popper, Widemouth popper dan berbagai-bagai lagi. Anda boleh mendapatkan penerangan yang lebih lanjut mengenai popper yang ingin anda beli daripada jurujual di kedai pancing.







Setakat ini, penggunaan popper hanya biasa didengari dipraktikkan pada sebelah siang sahaja namun, tidak mustahil untuk popping di sebelah malam. Jika risaukan popper anda tidak cukup berkilau di bawah sinaran bulan, anda boleh mencubanya dengan menggunakan popper yang bersifat 'glow in the dark'.



Tali utama

Bila dah ada joran, kekili dan juga popper, kita nak kena ada perambut dan juga beberapa peralatan lain selain tali utama. Saya perhatikan sejak kebelakangan ini, sudah ramai para pemancing yang bertukar arah kepada tali sulam (braided line) sebagai tali utama mereka berbanding tali tangsi. Ini satu pilihan yang baik dimana gelendung kekili anda boleh menempatkan lebih banyak tali utama dan semestinya lebih panjang dengan penggunaan tali sulam. Ini juga memberi peluang lebih besar kepada pemancing untuk tidak terlalu risau akan kehabisan tali pada gelendung akibat larian pecut oleh pemangsa bagak.


Ternyata tali sulam memberi kesan yang positif disebabkan ianya dicipta khusus untuk ketahanan serta kekuatan dalam menerima tegangan yang maksima walaupun ia mempunyai diameter yang lebih kecil jika dibandingkan dengan tali tangsi.



Perambut

Untuk acara popping di kawasan perairan air masin yang dikelaskan dalam kategori 'big game' ini, disarankan anda untuk menggunakan perambut yang berkekuatan lebih tinggi. Mana tidaknya, rembatan sang Jemuduk atau Tenggiri seberat belasan kilo mahupun lebih yang membaham popper anda bukanlah suatu perkara yang boleh dipermainkan.  Pemangsa rakus jenis ini dengan senang lenang mampu memecahkan popper anda, jangan sesekali pandang ringan terhadap kemampuan mereka. Bersedialah dengan perambut yang sesuai untuk mengelakkan anda kecewa menangis kerana kehilangan popper akibat putus perambut direntap pemangsa. Suka saya sarankan saiz perambut tangsi (fluorocarbon) yang digunakan adalah di antara 70lbs hingga 150lbs mengikut saiz ikan yang dijejak serta kemahiran anda mengawal permainan. Saya juga ingin mengesyorkan perambut dawai yang bersaiz sekitar 50lbs hingga 80lbs digunakan untuk mengikat popper anda sebelum disambung kepada perambut tangsi yang biasa kita gunakan. 

Perambut Dawai (steel)



Berkongsi tentang pengalaman saya, penggunaan perambut dawai ini lebih gagah 'memegang' popper / gewang / mata kail berbanding menggunakan perambut tangsi semata-mata. Begitu juga dengan sambungan antara perambut dawai pada perambut tangsi yang ternyata juga menambahkan kekuatan ikatan.



Mata Kail

Tidak dinafikan bahawa setiap popper yang dibeli di kedai pancing sudahpun disertakan dengan mata kail. Namun dari pengamatan dan juga tunjuk ajar dari yang berpengalaman, mereka lebih gemar menukarkan 'mata tiga' yang sedia ada kepada mata yang baru. Tujuannya jelas kerana mereka mahukan sesuatu yang lebih berkualiti dari segi ketahanan dan mereka turut menambah saiz kepada yang sedikit lebih besar dari yang asal. Sering kita dengar tentang mata tiga yang terkangkang dua, maksudnya dua dari tiga mata itu kelihatan berbentuk 'L' dari asalnya yang berbentuk 'U'. 




Jadi kawan-kawan, bersedialah dengan menukarkan kepada yang lebih meyakinkan. Terdapat berbagai jenama, bentuk dan jenis material yang digunakan berada di pasaran.



Butt Pad

Memandangkan popping ini merupakan satu aktiviti yang mempraktikkan teknik pancing 'aksi ganas', maka satu lagi alat yang dipanggil 'Butt Pad' ini perlu disediakan. Alat ini berfungsi sebagai alas pada bahagian perut  ketika mengarau lebih-lebih lagi sewaktu pertarungan hebat sedang berlaku. Ia sangat membantu dari segi pengawalan joran supaya berada pada satu tempat yang dikira sesuai tanpa beralih dengan mudah atau terlucut. Ini akan lebih memberi peluang yang cerah untuk menaikkan ikan tanpa risau memikirkan tentang kedudukan memacakkan joran di bahagian perut. Ia juga mengelakkan rasa sakit yang melampau akibat terlalu lama 'bermain' atau tekanan yang tinggi dikenakan oleh si pemangsa.




Satu alat yang amat membantu dari segi pengendalian joran serta membuatkan kita lebih yakin ketika mengepam tanpa risau mengenai sakit di bahagian perut yang sering menjadi 'tapak' memacak joran ketika bertarung.

Di sini saya juga ingin sertakan sekali cara-cara untuk mengikat tali sulam (braided) kepada perambut tangsi (fluorocarbon) memandangkan kebanyakan pemancing kini sudah bertukar kepada tali sulam sebagai tali utama mereka. Satu pilihan yang bijak kerana ia berkualiti, berketahanan tinggi dan semestinya mempunyai diameter yang lebih kecil berbanding tali tangsi biasa.



Inilah serba sedikit mengenai teknik pancing yang dikenali sebagai popping. Satu teknik pancing bertaraf 'big game' yang semakin menjadi kegilaan para pemancing di seluruh dunia buat masa kini. Semoga anda dapat memperaktikkan teknik ini sebaik yang mungkin dari pembacaan di atas hingga dapat memperolehi 'karen' renjatan popping. Diharapkan juga arena sukan memancing negara semakin mendapat perhatian dan makin maju hendakNya.

Nasihat dari saya, jaga keselamatan anda dimana sahaja anda berada. Terima kasih juga dari serekkoyan kerana sudi menjadikan blog ini sebagai ruangan pengetahuan aktiviti marin mahupun bahan bacaan santai. Salam.. sehingga bertemu lagi di ruangan yang lain.

4 comments:

Noxkidz berkata...

ini best brooo..

thanks :D sangat membantu :)
teruskan yang terbaek :D

t m a berkata...

@Noxkidz
popping biar sampai kene karen.. hehhee

ya welcome, thanks juga kerana support.

matakail berkata...

jemput menjadi follower www.pancingarateam.blogspot.com.. trimas

t m a berkata...

@matakail
dah follow sejak bulan lepas lg..