SEREKKOYAN



Salam Pengenalan


Assalamualaikum dan salam sejahtera pada warga pembaca sekalian.






Serekkoyan adalah sebuah blog yang berkisarkan mengenai arena rekreasi marin tanah air yang semakin mendapat perhatian umum. Mengisahkan aktiviti menyelam, berkemah, merentas hutan belantara dan segala aktiviti yang melibatkan rekreasi air. Turut juga melibatkan acara memancing sebagai aktiviti utama serekkoyan yang ingin saya paparkan dari gelanggang air masin juga air tawar, lautdalam, kuala, muara, sungai, tasik dan seterusnya gelanggang pelantar minyak yang kini menjadi kegilaan kaki pancing negara.

Satu medium yang menjadi pilihan pengguna masa kini membuatkan serekkoyan ingin turut serta berkongsi cerita dan pengalaman menarik bersama pembaca semua. Serekkoyan juga akan trurut memaparkan sedikit sebanyak berkenaan aktiviti perkemahan, selaman dan penerokaan hutan semulajadi terutamanya trip yang akan kami jelajahi di sekitar pantai timur dan seterusnya ke seluruh pelusuk negeri. Akan juga diselitkan mengenai teknik dan tip bagi setiap aktiviti marin terkini serta spot yang menarik untuk anda demi kepuasan dan kesejahteraan alam semulajadi yang akan kita terokai bersama.

Semoga serekkoyan akan menjadi tatapan serta bahan bacaan yang menarik serta dapat memberi panduan dan menambahkan lagi pengetahuan kita bersama dalam arena rekreasi marin dan seterusnya terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar demi generasi masa depan.

Diatas kesempatan ini, jutaan terima kasih diucapkan kepada penaja utama yang merupakan nadi serta tunggak penting dalam merealisasikan serekkoyan. Tidak dilupakan juga sifu-sifu serta rakan seperjuangan yang telah banyak memberi tunjuk ajar selama ini.


Terima kasih kerana memilih serekkoyan sebagai medium informasi mengenai arena rekreasi marin dan  bahan bacaan santai anda.



_______________________________________________________________________________


Jutaan Terima Kasih


Di atas kesempatan ini, serekkoyan ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga khusus buat penaja utama serekkoyan yang selama ini telah banyak memberi dorongan sekaligus menjadi tunggak kepada serekkoyan. Beliau merupakan seorang kakitangan syarikat petroleum yang sudah semestinya kaki pancing yang sentiasa dahagakan tarikan 'maut' dari penghuni laut dalam. Kelebihan tidak 'mabuk laut' membuatkan beliau tidak getir meredah lautan gelora dan seterusnya merealisasikan sebuah pengalaman menarik yang akan serekkoyan paparkan.

Tidak lupa kepada rakan seperjuangan dari zaman persekolahan yang sering bersama berkongsi maklumat serta pengalaman dalam dunia pancing sehingga ke hari ini. Bersama mereka meredah 'dem' di hujung minggu masih terpahat dalam ingatan apabila teringatkan 'port' lama. Aktiviti memancing masih giat dijalankan secara individu mahupun bersama walaupun kini sibuk dengan karier masing-masing.

Seterusnya kepada sifu-sifu buat serekkoyan yang kini sebagai komuniti arena rekreasi marin utama yang telah banyak membantu dalam memperkemaskan lagi ilmu 'main laut'. Mereka yang juga bersama turut serta berganding bahu menyediakan fasiliti terbaik serta telah bertungkus lumus dalam menghasilkan 'pengkalan' bagi menempatkan sebuah bot yang kini menjadi nadi buat serekkoyan.

Begitu juga kepada ahli keluarga yang turut serta menyumbang kepada proses membaik pulih bot yang sememangnya mengambil masa yang agak lama.


Jutaan terima kasih diucapkan
Sumbangan anda amatlah dihargai.



______________________________________________________________________


Hari Ini Dalam Sejarah




Tanggal 1 jun 2010 merupakan tarikh bersejarah dimana serekkoyan melangkah ke satu tahap yang lebih tinggi dalam arena rekreasi marin tanah air. Segala perbincangan dan perangkaan selama dua tahun sebelumnya kini menjadi kenyataan buat serekkoyan

Titik bersejarah ini bermula dengan persetujuan di antara penaja utama dan jeragan serekkoyan dalam menceburi bidang rekreasi marin yang semakin mendapat perhatian dari segenap penggemar dari dalam negara mahupun luar negara apabila sebuah jentera telah dijadikan nadi utama dalam merealisasikan hasrat serta impian serekkoyan selama ini. Sebuah jentera marin iaitu sebuah bot atau lebih dikenali dengan panggilan perahu dikalangan masyarakat pantai timur tanah air yang merupakan medium pengangkutan utama bagi setiap penjelajahan yang akan menjadi suatu paparan menarik buat penggemar sukan pancing tanah air mahupun warga serekkoyan sendiri. Ini merupakan satu peluang yang tidak dapat ditolak oleh serekkoyan dalam memiliki jentera sendiri untuk terus maju dalam industri ini disamping dapat menimba ilmu serta pengalaman hebat yang sememangnya hanya dapat dimiliki oleh segelintir masyarakat walaupun dari penggemar-penggemar sukan marin sendiri.

Vesel
Sebuah perahu yang sebelum ini asalnya dimiliki oleh seorang nelayan sepenuh masa yang merupakan jeragan Terengganu  berpengalaman yang hanya digunakan semata-mata sebagai vesel bagi tujuan menangkap ikan sahaja. Namun disebabkan oleh reka bentuk yang mampu bergerak laju menyusuri lautan dan semamangnya berdaya untuk membelah ombak serta mempunyai saiz dan ruang yang sesuai telah menarik perhatian serekkoyan untuk menjadikannya sebagai tunjang utama dalam setiap ekspedisi penjelajahan khusus bagi kaki-kaki pancing tanah air.  

Proses Baik Pulih
Penelitian secara terperinci dalam proses membaik pulih perahu telah mengambil masa selama 6 bulan keseluruhannya menjadikan ia sebuah pengangkutan yang mampu berdaya saing serta mesra pelanggan. Jentera yang telah dilengkapi dengan peralatan terkini dari segi enjin mahupun 'sonar' atau 'sounder' serta peralatan memasak dan lain-lain juga membolehkan aktiviti pancing lebih mudah dijalankan dan sememangnya memenuhi citarasa pengguna marin masa kini. Ruang dalaman serta luaran juga menjadi satu aspek penting yang amatlah dititikberatkan oleh penaja utama serekkoyan dalam pengubahsuaian demi keselesaan pengguna mahupun warga serekkoyan sendiri. Satu medium yang serba lengkap serta mesra pelanggan telah menjadi suatu inspirasi dan peneraju bagi serekkoyan. Kini ia kelihatan lebih gah dari sebelumnya.

Tenaga Pakar
Bagi melengkapkan fasiliti jentera marin serekkoyan, sebuah jeti yang menjadi markas atau pengkalan sememangnya penting sebagai 'parking lot' atau 'tempat letak' bagi menempatkan perahu telah disediakan untuk memudahkan para pengguna mengakses ke bot sekaligus bagi memunggah barang keperluan dan juga peralatan memancing serta selaman. Dalam menyediakan fasiliti tersebut, ramai tenaga pakar (orang lama dan baru) turut serta turun padang bersama-sama berganding bahu dan ini telah menjimatkan banyak masa bagi proses menyiapkannya. Semangat gotong royong yang amat jarang sekali dapat kita lihat pada masa kini khususnya di kawasan bandar. Proses menghasilkan pengkalan ini amatlah rumit dan sedikit cerewet memandangkan ia memerlukan skil dalam bidang pembinaan dan sudah pasti menambahkan lagi tahap kesukaran kerana ianya terletak di kawasan air di tepi sungai. Bukan suatu perkara yang mudah untuk menyempurnakannya apabila perlu memacak kira-kira 30 batang tiang sepanjang 10-40kaki di tengah-tengah air yang berkedalaman maksimum 25kaki. Memang tidak dapat saya bayangkan pada mulanya namun berbekalkan pengalaman serta bantuan dari sifu-sifu dan warga marin tempatan, semuanya beres begitu sahaja walaupun ia mengambil masa lebih dari seminggu sehingga segalanya siap sempurna.

Kini, segalanya telah lengkap untuk serekkoyan bersiap sedia memulakan ekspedisi penjelajahan aktiviti rekreasi marin serta penerokaan ke lokasi baru yang menjadi taruhan lebih-lebih lagi buat penggemar sukan pancing tanah air dalam mencipta pengalaman menarik disamping menikmati suasana lautan luas yang sememangnya sentiasa mendapat perhatian segenap lapisan masyarakat.