Rabu, 4 Mei 2011

Sekejap Yang Penuh Bermakna



Setelah air batu dimuatkan, minyak diisi sepenuhnya, segala peralatan dan perkakas lain lengkap disediakan, enjin dihidupkan selewat 4 petang. Bersama seorang sepupu berpengalaman lebih dikenali sebagai Mat, kami menuju ke destinasi yang agak popular di sekitar perairan Kemaman yang hanya mengambil masa kurang dari sejam.

Dengan berbekalkan beberapa candat, kami terus menuju membelah ombak ke lokasi yang menjadi taruhan kali ini. Trip yang dirancang hanya memperuntukkan beberapa jam ini diharap membuahkan hasil untuk kami berdua. Tepat jam 5.30 petang, kami tiba di lokasi yang diinginkan. Setibanya di sana, sudah kelihatan beberapa buah bot lain juga sedang mencandat sotong di situ. Kami berlegar buat sementara waktu untuk mencari posisi yang terbaik. Sonar menunjukkan satu kedudukan yang dikira sesuai untuk melabuhkan sauh.

Setelah sauh melekat dengan elok, candat diturunkan serta merta tanpa membuang masa. Sotong pertama hadir tak sampai 5 minit dan keadaan menjadi meriah seketika. Lokasi yang dicadangkan Mat membuahkan hasil. Kami teruskan mencandat tanpa menghiraukan perut yang sudah mula meminta diisi. Hari masih lagi siang, sotong naik tanpa henti selang 5-10 minit. 

Sotong yang berjaya dicandat
Hari semakin gelap, sotong pula semakin besar. Suasana menjadi riuh kerana sekali sekala sotong menarik candat dengan gagah sekali. Sedang Mat menarik sotong naik ke atas, dia kelihatan resah dengan karauan yang agak perlahan dari biasa. "Kasor sutung hok ni, dua ekor skilo kalau berat gini", kami berdua berpandangan sambil tersenyum. Ternyata tekaan beliau tepat, tiga ekor sotong sepanjang lengan akhirnya muncul di permukaan air. Kami bergilir menaikkan sotong yang berbagai saiz seekor demi seekor.


Perut semakin lapar, sotong pula tidak henti membaham candat. Bekal roti Gardenia bersama jem kaya yang dibeli siang tadi dibiarkan dahulu. Masing-masing tekun dengan candat di tangan. Akhirnya aku tewas dengan godaan roti yang hanya menunggu masa untuk dijamah. Sekitar jam 8 malam, kami mengisi perut sekadar yang perlu. Segala urusan dan tanggungjawab diselesaikan sebaik mungkin.

Suasana malam menyelubungi lautan luas, kilauan bintang serta awan bersisik menambahkan lagi keindahan alam. Cuaca yang baik meyakinkan kami untuk terus berada di situ. Dengan kehadiran sotong yang banyak, kami mula mencuba nasib mengail tenggiri. Sotong hidup bersaiz sedang yang rata-rata sedap dijadikan lauk menjadi taruhan buat pemangsa bergigi tajam ini. Joran lintang berperambut 50paun ditambat sebaiknya di belakang bot. Takut juga jatuh ke dalam laut dilarikan ikan akibat sentapan rakus yang sememangnya tidak dapat diduga.

Umpan disangkut dengan cermat supaya tahan lebih lama. Dua set dipasang sekaligus berbeza kedalaman. Tali dilepaskan hingga mencecah dasar. Umpan dikarau sedikit supaya ia terapung diolek arus. Pelampung diikat kemas bagi yang menyambar di permukaan air. Kelihatan tenggelam timbul pelampung tadi ditarik umpan hidup. Harapan dijamah membuatkan kami menunggu dengan hati yang berdebar. Candat masih lagi dimainkan seperti biasa. 

Sotong sudah mula berkurangan sekitar jam 9 malam. Kopi dibancuh buat penghilang dahaga, rokok dicucuh akibat kebosanan menanti sambaran si pemangsa sambil mencicah roti berinti kaya. Sedang asyik kami berbual, dengan tiba-tiba mesin Okuma berdecit mengeluarkan tali dari gelungan tanpa henti. Nampaknya umpan sudah mengena. Roti yang tinggal separuh ditangan terus disumbat ke dalam mulut. Masing-masing dengan pantas menaikkan candat untuk mengelakkan ikan membelit di tali. 

Keadaan menjadi kecoh seketika. Lantai bot agak bersepah dengan tali candat yang dinaikkan tadi memandangkkan kami menggunakan serek. Aku mengambil peluang pertama berentap dengan pemangsa yang masih tidak tahu gerangannya. Tali di joran masih lagi keluar berdecit, umpan dilarikan sepenuh tenaga oleh sang ikan. Mat pula sudah bersedia merakam aksi menggunakan kamera telefon bimbitnya.  Dengan suasana yang cemas, Mat menyuruhku supaya cepat. Aku mengangkat joran dengan berhati-hati. Tali hanya tinggal suku sahaja di dalam gelendung. 

Umpan masih lagi dilarikan rakus. Aku gamam seketika. Drag diketatkan supaya tali berhenti dikeluarkan dan sentapan dilakukan agar sang ikan tidak dapat meloloskan diri. Dengan dua kali sentapan yang kebiasaanya aku lakukan, mata kail sudah tersangkut dengan baik sekali. Kegembiraan mebuak-buak di dada, senyum terukir sampai ke telinga dengan harapan ikan berjaya dinaikkan.

Tali menegang ditarik ganas, joran melendut-lendut bagai nak patah dua. Tarikan dilayan cermat agar ikan tidak terlepas. Tangan sedikit menggeletar akibat ikan yang melawan dengan hebat. Karauan dilakukan berhati-hati. Mat pula berada di posisi yang cantik fokus merakam aksi pertarungan sambil memberi nasihat. Ikan sudah berada di pertengahan air kerana separuh dari tali yang dilarikan tadi sudah masuk pada gelendung. 

Menyedari ia ditentang hebat, satu selaman nekad dibuat mengharapkan terlepas dari cangkukan mata kail. Sekali lagi mesin berdecit akibat tali yang keluar dengan pantas. Drag dilonggarkan sedikit supaya tali tidak putus dan pemangsa tidak terlepas begitu sahaja. Pemangsa kali ini agak 'kasar' dari daya tentangan dan benaman yang dilakukannya. Nampaknya ia masih kuat bertenaga. Dari gaya ia melakukan selaman tadi, Mat sudah tahu spesis pemangsa yang meragut umpan.

Tali terus dikarau lembut untuk membuatkan ia cepat letih. Setelah beberapa ketika, si pemangsa tadi muncul di permukaan air. Sah tekaan Mat, seekor Haruan Tasek yang meragut umpan dengan larian yang mencemaskan keadaan. Masih lagi bertenaga, ia berlegar mengelilingi bot menyukarkan kami untuk menaikkannya ke atas. Namun, dengan pengalaman Mat, dengan sekali 'kait' sahaja ia tersadai di lantai. Kepuasan jelas terasa, senyuman tetap terukir walau tangan masih lagi ketar akibat pertarungan yang hebat. Seekor Haruan Tasek seberat 12kg menjadi habuan. Beberapa keping gambar diabadikan sebagai kenangan. Aku tersenyum lebar.

Tanpa melengahkan masa, umpan baru dipasang. Hanya beberapa minit sahaja selepas umpan dihanyutkan, mesin berdecit sekali lagi. Gaya larian yang lebih kurang sama dengan yang pertama tadi. Kini giliran Mat pula bertarung. Aku sudah terduduk keletihan. Mat yang sememangnya berpengalaman menerima tentangan dengan tenang. Pergelutan yang sama hebat berjaya dikawal dengan baik sekali. Karauan tetap dilakukan dengan berhati-hati. Gaya karauan yang 'steady' membuatkan sang ikan menurut perintah tanpa melawan.

Mat dengan Haruan Tasek 10kg
Namun pemangsa masih belum mengaku kalah, selaman nekad pemangsa untuk meloloskan diri dilakukan seperti biasa. Mat hanya senyum mengangkat kening memandang aku sambil membiarkan tali dilarikan dan drag diketatkan sedikit demi sedikit. Setelah ia berhenti membenam, Mat mengarau dengan lebih laju dan penuh bertenaga. Kelihatan Mat begitu yakin tanpa sedikit pun menunjukkan rasa cemas. Muncul jua sang pemangsa di permukaan, seekor lagi Haruan Tasek berjaya didaratkan. Tersenyum kepuasan jelas terukir di wajah dengan 'kapal selam' seberat 10kg. Dengan tenaga yang masih tinggal, ikan dijulang untuk turut diabadikan dalam sekeping gambar. 


2 ekor Haruan Tasek berjaya didaratkan

Kami berdua duduk keletihan sambil pekena kopi yang sudah pun sejuk. Masing-masing menunjukkan riak wajah kepuasan. Aku masih lagi tercungap-cungap. Sambil menghilangkan letih dan dahaga, kami mengemas untuk kembali pulang. Ikan dan sotong juga sudah diisi kemas dengan air batu. Tepat jam 11 malam, enjin dihidupkan dan kami terus menuju ke daratan dengan hasil yang memuaskan serta kepuasan yang tidak terhingga walau masa yang diperuntukkan agak terhad untuk trip kali ini.


p/s: terima kasih diucapkan kepada saudara Mat yang sudi menemani walaupun dia bekerja di hari keesokannya.


12 comments:

Jemari MonteL berkata...

waaaa..... sotonggg....... nak nak.....

ikang pon besor gok tuh... perghhh.... sedak weh kalo bakar masok tiga raso lok.. la la la

AnakPakZohar berkata...

wahhhh.. oh my... sangat besarrr.... rezeki2.. (^_^)

silent berkata...

besar................................................

Tanpa Nama berkata...

bestnye....:) nak sotong...

Dol berkata...

peh stylo lah bro! hehehe. terngin gak aku nak mengail, tapi takde peluang je. huhu. :)

alin berkata...

nk beli sotong tu boleh??? ;)

serekkoyan berkata...

@alin
boleh je, no prob

serekkoyan berkata...

@Jemari MonteL
marila candat sama..

serekkoyan berkata...

@yad'z
hahhaa besar punya... alhamdulillah

serekkoyan berkata...

@Silent
besar bru layan.. hehhee

serekkoyan berkata...

@putrifayad
jom join candat..

serekkoyan berkata...

@r-5
just gimme a call bro, anytime..