Khamis, 5 Mei 2011

Penjagaan Vesel - Bhg 1


Memiliki sebuah kediaman di pesisir pantai mahupun di tepi sungai memang menjadi satu keinginan bagi setiap warga tanahair terutamanya bagi penggemar sukan pancing. Sebuah kediaman yang eksklusif disertakan pula dengan sebuah vesel / bot sememangnya satu daya tarikan buat masa kini lebih-lebih lagi kita sebagai warganegara yang secara keseluruhannya dikelilingi pantai.

Untuk ruangan kali ini, kita akan membicarakan tentang penjagaan vesel / bot.

Ramai di antara kita yang teringin untuk memiliki sebuah vesel / bot lebih-lebih lagi bagi peminat sukan marin tanahair. Namun tanpa disedari, penjagaan yang rumit serta memerlukan ketelitian yang tinggi menjadi satu aspek yang amatlah dititikberatkan.

Bagi pemilik yang sudah biasa dengan vesel, mungkin tiada masalah dalam hal penjagaannya tetapi agak sukar bagi yang baru menjinakkan diri dalam industri ini. Adalah disarankan supaya anda membuat sedikit kaji selidik mengenai aset marin yang anda inginkan terutamanya vesel / bot.

Untuk bahagian satu bab penjagaan vesel ini, saya ingin memberi keutamaan buat pemilik vesel kayu yang kebiasaanya dimiliki oleh kebanyakan nelayan di negara kita mahupun pemilik persendirian bagi tujuan rekreasi marin. Saya ingin berkongsi dengan anda semua mengenai cara asas dalam menjaga sesebuah vesel yang melibatkan perihal kebocoran dan salutan cat.

Tidak dapat dinafikan bagi mana-mana vesel kayu di seluruh dunia akan mengalami masalah kebocoran  dan sentiasa memerlukan perhatian khusus buat pemiliknya. Kebocoran ini sudah menjadi lumrah dan kebiasaan kerana badan vesel tersebuat diperbuat daripada kayu. Kadar kebocoran ini akan sentiasa bertambah dari masa ke semasa berikutan usia kayu yang sememangnya semakin mereput. Namun, dengan penjagaan yang cermat serta teliti akan mengurangkan kadar kebocoran tersebut. Antara beberapa perkakas yang diperlukan adalah seperti pengikis(scrapper), pembakar(blowtorch), gam dan juga cat.

Langkah pertama memerlukan kita memeriksa dengan teliti kawasan yang mengalami kebocoran. Setelah ia dikenal pasti, perlulah kita untuk membersihkan kawasan yang bocor tadi sebaik mungkin. Kebiasaannya kebocoran ini berpunca dari kayu yang sudah mula mereput yang membuatkan air meresap masuk tanpa henti di antara rapatan kayu pada bahagian badan vesel. Proses ini dilakukan dengan membuang kesemua kawasan yang reput tadi dengan cara mengorek atau mengikis kayu yang kebiasaannya sentiasa basah diserap air. Anda boleh menggunakan apa jua alatan yang sesuai seperti pengikis ataupun pisau mengikut kesesuaian masing-masing.

Blow Torch
Setelah segala kerosakan yang dikenal pasti tadi dibersihkan, ia perlulah dikeringkan sebaik yang mungkin. Adalah disarankan untuk anda menggunakan pembakar(blowtorch) berbanding dengan hanya mengelap bahagian yang basah tadi menggunakan kain yang kering. Ini akan lebih menjamin permukaan yang dibersihkan tadi betul-betul kering untuk memastikan gam yang akan ditampal nanti melekat dengan baik.

Gam A+B
Menampal Gam
Apabila anda sudah berpuas hati dengan kawasan yang dibersihkan tadi, tiba pula proses menampal gam. Proses ini memerlukan sedikit kesabaran dan ketelitian untuk menjamin gam yang disapu nanti betul-betul memenuhi ruang yang dikorek tadi. Gam yang digunakan kebiasaannya adalah gam dari jenis campuran A dan B. Gam ini boleh didapati dari kedai-kedai khusus yang menjual peralatan vesel. Ingin diingatkan buat para pembaca, campuran gam yang betul mengikut peratusan A dan B akan memberi kesan yang besar dari segi kualiti gam yang dibancuh nanti. Juga dinasihatkan proses menampal gam pada bahagian yang rosak tadi dilakukan dengan sedikit demi sedikit supaya ia memenuhi seluruh kawasan yang ingin ditampal.

Cat 'Anti Fouling'
Selepas dipastikan gam tadi kering dengan baik, anda bolehlah memulakan proses mengecat. Disini ada dua jenis cat yang biasa digunakan pemilik vesel iaitu cat 'anti fouling' dan cat biasa. Cat 'anti fouling' ini digunakan khusus untuk permukaan vesel yang terendam di dalam air. Ia berfungsi untuk mengelakkan bahagian tersebut dari proses pengaratan dan menghindar hidupan akuatik daripada melekat ke badan vesel. Bahagian yang tidak terendam pula dicat dengan cat biasa mengikut citarasa anda. Jika mahukan hasil yang lebih baik, anda salutlah vesel anda pada ke seluruh permukaan luar dan juga dalam. Proses mengecat dilakukan seperti biasa.


Sebaiknya proses yang boleh dikatakan sebagai penjagaan asas ini dilakukan pada hari yang cerah dan cuaca yang panas terik semestinya memberi hasil yang lebih memuaskan. Perlu diingatkan pada pemilik vesel sekalian, sila pastikan cat tadi betul-betul kering sebelum vesel anda turun semula ke air.



Sampai di sini dahulu untuk ruangan Penjagaan Vesel bahagian 1, bersambung pula di bahagian dua berkenaan dengan penjagaan peralatan vesel dan juga bahagian enjin. Selamat mencuba.



2 comments:

Dol berkata...

terima kasih bro ada cara-cara yang dikongsikan. walaupun tiada bot mungkin suatu hari nanti apa yang dikongsikan bakal berguna pada masa hadapan, siapa tahu kan? :)

serekkoyan berkata...

@r-5sama-sama r-5,
ya mungkin juga tu..