Selasa, 31 Mei 2011

Jigging


Jigging merupakan satu teknik memancing yang amat polular pada masa kini. Walaubagaimanapun, teknik ini telah lama dipraktikkan oleh pemancing-pemancing barat tetapi tidaklah begitu terkenal seperti hari ini disebabkan saiz peralatan yang besar gila gedabak digunakan. Teknik ini pada akhirnya telah diubahsuai oleh pemancing Jepun gara-gara ingin juga merasa tarikan ikan bersaiz bagak seperti Tuna Sirip Kuning (YFT), Tuna Gigi Anjing (Dogtooth Tuna), Jemuduk Gergasi (GT),  Aji-aji dan sebagainya. Pengubahsuaian ini telah membuka satu peluang luas memandangkan kebanyakan rakyat asia bertubuh kecil dan ini sedikit sebanyak menghadkan aktiviti pancing apabila terpaksa berhempas pulas mengendalikan peralatan yang boleh dikatakan sebagai set kasar. Sebaliknya, ciptaan terkini oleh orang-orang Jepun yang sememangnya berinovasi ini dengan penggunaan set ringan berkekuatan tinggi oleh pemancing-pemancing Jepun ini telah memberikan satu kepuasan maksima dalam arena pancingan ekstrim atau lebih dikenali sebagai 'Big Game'.



Teknik Jigging

Jigging sebenarnya ialah satu aktiviti memancing menggunakan 'gewang' yang dikenali sebagai jig atau senang dikatakan sebagai kepingan besi. Namun begitu, tidak semestinya hanya kepingan besi sahaja yang digunakan, terdapat juga jenis yang berambu-rambu menyerupai sotong dan lain-lain. Kaedah jigging ini adalah dengan menjatuhkan jig tadi ke dasar lautan dan menghenjut-henjut jig tersebut hingga ke permukaan air. Dengan kaedah ini, pemangsa akan tertarik dengan tarian jig dan akan menyambar kerana tidak senang dengan jig yang sering bermain sekaligus menaikan selera untuk membaham jig anda.

Sungguhpun begitu, teknik melayan jig atau lebih dikenali dengan 'mengunjun' merupakan satu perkara yang penting untuk memastikan jig anda menjadi perhatian utama bagi sang pemangsa. Ini akan lebih memberi kesan yang baik sekiranya anda mengenali perangai si pemangsa yang berada di kawasan anda berada. Penggunaan sounder juga turut membantu dalam mengenalpasti kawasan yang mempunyai kawanan ikan yang ramai.

Gaya Jigging 1

Gaya Jigging 2
Gaya dan rentak memainkan jig yang betul menjadi satu aspek penting dalam memastikan anda tidak hampa dan hanya menaikan jig anda sahaja tanpa sambaran setiap kali turun jigging walaupun di tempat yang berpotensi tinggi atau anda hanya berputih mata melihat rakan sebelah yang tidak putus-putus 'mengena'.



Kekili Jigging

Kekili untuk aktiviti jigging ini memainkan peranan penting kerana ia menitikberatkan aspek kekuatan mesin pancing anda ketika ikan melarikan jig dengan sepenuh daya tatkala anda sedang bersungguh-sungguh mengunjun dengan sentapan yang amat rakus sekali lebih-lebih lagi dari pemangsa bersaiz bagak. 

Kedua-dua jenis kekili sama ada dari jenis kekili menegak (multiplier) dan mendatar (spinning) sesuai digunakan untuk aktiviti ini. Terpulanglah pada kesesuaian dan keselesaan anda dalam mengendalikan kekili tersebut.

Penn Torque
Kekili Menegak ( Multiplier ) - Pemilihan kekili menegak yang sesuai adalah penting kerana kekili yang tirus (narrow) berfungsi dengan lebih baik berbanding dari yang lebar kerana ia akan memudahkan tali dikarau tanpa perlu disusun. Hampir kesemua kekili mendatar untuk jigging tidak mempunyai level wind. Kekili yang tirus juga lebih ringan dan lebih mudah dikawal ketika berentap dengan mangsa. Antara kekili menegak yang menjadi kebiasaan dan kegilaan para pemancing masa kini ialah antaranya Shimano Ocea Jigger, Shimano Trinidad, Shimano Kaikon, Shimano Torium, Penn Torque, Daiwa Ryoga, Daiwa Saltiga dan lain-lain.

Daiwa Saltiga
Shimano Kaikon


Kekili Mendatar ( Spinning ) - Bagi pemilihan kekili mendatar pula, nisbah (ratio) kelajuan mestilah tinggi dan mempunyai daya tegangan (drag) yang berkualiti. Drag yang 'gagah' berfungsi untuk mengelakkan dari si pemangsa membuat larian pecut terus ke kawasan bergerigi dan berstruktur tajam seperti kawasan batu karang atau kapal karam yang dengan mudah akan memutuskan tali pancing anda selain kehilangan jig 'tersayang'. Antara jenama yang sering menjadi taruhan buat penggemar kekili mendatar ini termauklah Shimano Stella, Shimano Ultegra, Penn Spinfisher, Daiwa Saltiga dan banyak lagi.

Daiwa Saltiga Dogfight
Shimano Ultegra
Shimano Stella






Joran Jigging

Joran untuk jigging juga mempunyai kelas yang tersendiri dimana ia akan memudahkan pengendalian serta mempunyai kelembutan yang berbeza dari joran bagi kegunaan teknik lain. Kelembutan pada batang joran yang berkekuatan tinggi ini melengkapkan lagi gaya unjunan jig anda dimana tarian dan pergerakan jig yang dipersembahkan itu seakan gerakan anak ikan sebenar dan sempurna di mata si pemangsa. Panjang joran juga memainkan peranan penting bagi teknik ini dan kebiasaannya digunakan oleh pemancing jigging adalah diantara 5kaki 4inci sehinggalah 6kaki 6inci bergantung pada ketinggian pemancing itu sendiri serta mengikut kesesuaian dan keselesaan masing-masing. 

Terdapat banyak jenama yang ada di pasaran tempatan dan yang kebiasaanya menjadi pilihan ialah dari jenama Tenryu JigZam, Shimano JigWrex, Daiwa Saltiga dan lain-lain lagi. Namun begitu, disebabkan oleh industri pancing ekstrim tanah air telah berkembang pesat seiring dengan pembangunan negara, ramai diantara pemancing memilih untuk 'custom' joran masing-masing demi keselesaan pengendalian  berikutan sudah banyak kedai pancing yang menyediakan khidmat tersebut. Budaya 'custom' ini diamalkan oleh pemancing tegar berasaskan dalam menitikberatkan terhadap cincin atau 'ring' pada joran yang selalunya kurang dipercayai bagi model yang kurang berkualiti dan ianya ditukarganti kepada jenama Fuji yang sememangnya amat tinggi kualiti buatannya sejurus selepas membuat bayaran di kaunter.

Tenryu JigZam
Daiwa Saltiga Spartan

Shimano JigWrex Series








Jenis-jenis Jig

Memang susah untuk menentukan sama ada yang mana satu jenis jig dapat menarik perhatian sang ikan. Terdapat pelbagai jenama, bentuk, saiz, berat dan juga warna boleh didapati di kedai pancing yang seringkali  membuatkan kita termenung memandang jig-jig tersebut sehingga mengambil masa sejam hanya kerana memilih tiga batang jig sahaja yang dipikirkan 'keramat' setiap kali turun membeli belah. Tidak keruan dibuatnya namun bagi yang sudah biasa dalam arena jigging, ia bukanlah suatu yang memeningkan kepala.

Dalam memilih jenis jig, kita harus mengambil kira kesesuaian jig tersebut berdasarkan kedalaman air. Semakin dalam air, semakin besar jig yang digunakan dan kebiasaannya ia diukur 100gram berat jig bagi 100kaki kedalaman air. Begitulah seterusnya dan untuk memudahkan lagi pemilihan jig yang ingin digunakan, anda perlulah juga mengira kelajuan arus supaya jig jatuh tepat di tempat yang dikehendaki tanpa tersasar dilarikan arus yang kuat. Anda juga boleh memilih jig mengikut kesesuaian jenis ikan umpan atau ikan yang menjadi makanan pemangsa di satu-satu kawasan di mana anda berada.




Warna jig memainkan peranan yang agak penting berpandukan keadaan siang atau malam. Mana-mana jenis jig mengikut apa sahaja jenis warna boleh dipraktikkan pada waktu siang asalkan ia mempunyai kilauan yang menyerlah. Pada waktu malam pula, kebiasaannya jig yang bersifat 'glow in the dark' lebih menarik perhatian pemangsa untuk terus membaham berbanding menggunakan umpan hidup seperti yang selalu digunakan oleh ramai pemancing.




Penyediaan Jig

Mata Kail ( hook ) - Memilih mata kail untuk aktiviti jigging ini amatlah mudah walaupun mata yang digunakan agak berbeza dari teknik pancing yang lain. Mata kail yang digunakan haruslah lebih lebar dari jig yang ingin anda gunakan. Terpulang pada anda untuk mengikat sendiri mata jig atau membeli yang sudah siap diikat dari kedai pancing yang menjualnya.




Tali Kevlar - Tali ini digunakan untuk mengikat mata kail pada jig. Walaupun begitu, ada juga pemancing yang menggunakan 'cable wire' dan juga dawai bagi tujuan berikut. Ini bertujuan untuk menambah ketahanan dan juga mengelakkan dari tali tadi putus diragut pemangsa bergigi tajam lebih-lebih lagi oleh sang tenggiri.

Tali Kevlar
Dawai Steel
Wayar Kabel 




Split Ring & Solid Ring - Terdapat dua jenis ring yang digunakan untuk penyediaan jig. Split ring digunakan untuk memegang jig dan juga mata kail yang telah diikat pada tali kevlar / wayar kabel / dawai. Solid ring pula berfungsi di mana tali kevlar / wayar kabel / dawai tadi diikat padanya dan disangkut pada split ring.

Solid Ring
Split Ring


Beginilah rupa bentuk jig yang telah diikat bersama mata kail, tali kevlar, solid ring dan juga split ring. Penggunaan perambut dan swivel boleh dipraktikkan seperti kebiasaannya yang selalu anda lakukan bagi teknik pancingan yang lain. Adalah disarankan penggunaan perambut dan swivel yang berkualiti demi menjamin ketahanan maksima bagi setiap set bergantung pada berat dan saiz jig yang ingin anda persembahkan.














Di bawah ini saya sertakan juga cara-cara mengikat tali kevlar pada mata kail.



Dan di sini saya juga ingin sertakan cara ikatan tali sulam (braided line) kepada perambut kerana kebanyakan pemancing kini sudahpun menggunakan tali sulam sebagai tali utama mereka. Penggunaan tali sulam ini adalah lebih baik kerana ia berkualiti, berketahanan tinggi dan semestinya lebih halus serta kekili anda boleh menampung lebih banyak tali berbanding tali tangsi biasa.



Sampai disini dahulu mengenai teknik pancingan Jigging. Semoga tips yang diberikan ini memberi manfaat kepada anda semua serta dapat menjadi rujukan buat anda yang ingin menggiatkan diri dengan lebih serius  dalam arena sukan pancing ekstrim dan juga pada yang masih baru dalam aktiviti Jigging. Akhir kata dari saya, terima kasih kerana memilih serekkoyan sebagai bahan tatapan marin utama anda dan Selamat Mencuba.



4 comments:

AnakPakZohar berkata...

jig ni sesuai dekat tengah laut lah ek? lau mancing biase2 jek, perlu or tak guna jig ni?

serekkoyan berkata...

@yad'zaktiviti Jigging ni biasanya dilakukan di laut,tak pernah pula cuba di sungai/tasik hehhee.
kalau di 'darat', kebiasaannya kami menggunakan teknik Casting yang juga mengaplikasikan umpan tiruan yang lebih mmenyerupai rupabentuk yang sebenar.
Nantikan entri Casting, Popping /... dalam ruangan Teknik Pancing.

nizam said berkata...

dop sabor nok baca entry casting...

serekkoyan berkata...

@nizam said
otw bro, nak collect ckup source dlu, mau kasi mantap!